
Persekitaran dan Keselarasan?
Pemilihan kerjaya yang baik adalah bwrdasarkan personaliti diri kita. Kenapa kena utamakan personaliti dalam memilih kerjaya? Jawapannya adalah kerana perkara ini berkait rapat dengan keselarasan kerjaya antara personaliti dan persekitaran kerjaya.

Persekitaran

Persekitaran umumnya didefinisikan sebagai semua faktor atau kuasa yang wujud di luar diri individu yang beroperasi mengawal tingkah laku individu di samping berperanan dalam membentuk perkembangan mental dan fizikal mereka
Dalam membincangkan aspek persekitaran, Holland (1978, 1985, 1996) telah menyebut persekitaran kerja dan persekitaran latihan. Persekitaran kerja merujuk kepada persekitaran yang wujud dalam dunia pekerjaan sementara persekitaran latihan merujuk kepada persekitaran yang wujud dalam dunia pendidikan.
(Holland, 1985)
Persekitaran merujuk kepada suasana dan situasi yang dihasilkan oleh individu-individu yang menguasai sesuatu persekitaran itu. Contohnya, persekitaran R merujuk kepada persekitaran yang dikuasai oleh jenis personaliti R; begitu juga persekitaran E merujuk kepada persekitaran yang dikuasai oleh jenis personaliti E dan sebagainya.
Kilang Proton Saga dan Bank Bumiputera Malaysia Berhad ialah contoh persekitaran kerja, sementara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan contoh persekitaran latihan.
Keselarasan

Lazarus (1970) telah mendefinisikan keselarasan sebagai satu usaha yang dilakukan untuk menyesuaikan, memadankan dan menyamakan nilai-nilai yang sedia ada dengan satu keadaan yang baru diterima.

Holland (1973, 1978, 1985) telah memperkatakan konsep keselarasan kerjaya. Menurut beliau, keselarasan merujuk kepada darjah kongruens antara jenis personaliti seseorang dengan persekitaran kerjanya. Semakin tinggi darjah kongruens antara jenis personaliti dengan persekitarannya, maka semakin tinggi pula darjah keselarasan antara kedua-duanya.

Sementara itu menurut Osipow (1983), keselarasan mencerminkan perihal ciri-ciri yang ada pada diri individu didapati bersesuaian dengan pemintaan persekitaran untuk sesuatu bidang kerjaya
